Suasana pilihan raya Pilihan_raya_kecil_Batu_Sapi_2010

Pra pilihan raya

Pakatan Rakyat berunding dengan Parti Maju Sabah untuk agar memberi laluan kepada meletakkan calon dari PKR sahaja namun rundingan tersebut gagal. SAPP berkeras mahu meletakkan calonnya.

Pada 19 Oktober 2010, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

Hari penamaan calon

Calon PKR, Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong Teck Lee pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Linda Tsen Thau Lin pada pukul 9.06 pagi. Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 Nov itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Antara pemimpin parti komponen BN yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai penyokong BN bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Selain itu pemimpin lain adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil-wakil parti komponen.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari manakala Yong, yang merupakan calon SAPP, mengetuai sebilangan kecil penyokong ke pusat penamaan calon itu.

Kempen pilihan raya

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan permintaan kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi sekolah menengah di Batu Sapi yang akan memakan belanja sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta. Selain itu beliau juga mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta untuk membina sebuah masjid baru di kawasan Batu Sapi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh misi perjuangannya jika calonnya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Batu Sapi. Tujuh misi berkenaan termasuk menyampaikan suara dan keluhan rakyat kawasan Batu Sapi ke Parlimen tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan kedudukan. Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah telah dua kali terjatuh ke dalam laut – iaitu ketika berkempen bersama empat jentera pilihan raya PKR di Kampung Gas pada 29 Oktober 2010, dua hari selepas terjatuh ke dalam laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang.

Wanita UMNO telah dikatakan telah memberi rasuah sebanyak RM20 kepada para pengundi di Batu Sapi. Portal Berita Malaysiakini telah melaporkan bahawa Wanita UMNO dikesan menyerahkan wang RM20 kepada mereka yang sanggup memberikan butiran peribadi dan juga mendedahkan parti mana yang disokong mereka.

Pada 29 Oktober 2010, Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Sapi, Amir Bak dan 200 anggota bahagian itu hari ini mengumumkan keluar PKR dan menyertai UMNO. Turut menyertai Amir ialah naib ketua PKR Batu Sapi, Abdullah Madu dan tujuh lagi anggota jawatankuasa bahagian berkenaan. Selain itu, 50 anggota Parti Maju Sabah (SAPP) dari lima cawangan di Batu Sapi turut mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO. Bekas calon bebas pada pilihan raya umum 2008, Dr. Francis Chong pula mengumumkan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Calon SAPP, memainkan isu Sabah Untuk Orang Sabah dan perlunya autonomi yang lebih kepada rakyat Sabah, berdasarkan kepada Perjanjian 20 Perkara Sabah.

Hari pengundian